Sunday, December 27, 2015

Bab 8

Taman Pagoh Jaya
Ahad
11.45am


Lelaki yang berusia sekitar 30-an itu sedang asyik tidur di atas sofanya tanpa menghiraukan butir-butir berita yang terpampang di televisyen.

Kisah berita tentang apa yang berlaku semalam di Bukit Aman sedang hangat diperkatakan. Pelbagai andaian dan teori konspirasi yang mula diperbincangkan secara meluas sama ada melalui media sosial seperti facebook dan twitter. Dan ada juga yang mengecam kerajaan dan pihak berkuasa kerana tidak berupaya menangani kejadian terbaru dari berlaku.

Bunyi dengkuran yang sekali kala kedengaran menjadi peneman ruang tamu yang sunyi itu.

"Liza!"

Lelaki itu tiba-tiba tersedar daripada tidurnya. Wajah seorang wanita yang sedang senyum dengan tidak semena-mena hilang terus dari penglihatannya sebelum satu jeritan yang kuat mengejutkannya dari tidur.

Ivan mengeluh dengan perasaan yang berat hati. Dia baru sahaja kembali 2 hari lepas dan sehingga kini dia masih gagal. Tiada sebarang berita mahupun jejak Liza dijumpainya ketika di sana.

Namun, dia yakin Liza berada hampir dengannya pada malam tersebut. Walaupun mungkin hanya khayalan atau mainan tidur.

Dia bangkit secara perlahan-lahan dari sofa yang menjadi tempat tidurnya semenjak dia pulang dari Alaska, dengan pelbagai cebisan ingatan yang masih melekat di dalam benak otaknya.

Tekaknya terasa kering. Dia mengorak langkah ke dapur dengan gerak geri yang sedikit perlahan apabila dirasakan kaki kanannya terasa sakit. Sakit yang dialaminya pada malam tersebut.

Botol air sejuk jenama Spritzer diambilnya dari dalam peti ais lalu diteguknya air dengan perlahan-lahan, menikmati saat yang menyegarkan serta membasahi anak tekaknya.

Fikirannya masih lagi mengimbau saat-saat yang terjadi pada malam tersebut, walaupun dia seboleh-bolehnya cuba untuk melupakan saat-saat tersebut. Saat yang mencabar keberaniannya. Saat yang hampir meragut nyawanya.

"Liza..."

Lamunannya terhenti apabila deringan telefon bimbitnya berbunyi dengan tidak semena-mena. Dia mencapai telefon jenis Samsung J5 berwarna kelabu yang terletak di kocek kiri seluar yang dipakainya semenjak dua hari lepas.

Dilihatnya nombor telefon yang tertera di skrin telefonnya. Ianya tertulis private number, Difikirnya sejenak.

"Hello?"

"Hello, is this Mr Ivan?"

Suara seorang gadis yang agak lembut namun jelas kedengaran.

"Siapa ni?" soal Ivan.

Tiada suara kedengaran, sekadar bunyi nafas sahaja.

"Hello, siapa ni!?" tanya Ivan dengan nada yang keras.

Dengan tidak semena-mena talian telefon tersebut diputuskan tanpa sebarang jawapan dari suara gadis tersebut. Ivan tertanya-tanya siapakah yang menelefonnya tadi. Adakah salah nombor? Bukan.. Sebab pemanggil tu tahu namanya.

Bunyi "beep" tiba-tiba kedengaran dengan suatu pesanan ringkas. Wajah Ivan berubah sejurus dibacanya mesej yang diterimanya.

I know about Liza.
Meet me at Kinokuniya KLCC at 6pm tomorrow.










Saturday, December 26, 2015

Bab 7

One KL
Kuala Lumpur
Sabtu 
9.05pm


Pemandangan di malam hari sememangnya indah dengan kilauan cahaya dari pelbagai bangunan di sekitar Jalan Pinang yang menjadi tumpuan kebanyakkan pelancong sama ada dari dalam atau luar negara.

Tempat di mana tertumpunya bangunan Kuala Lumpur City Center (KLCC) yang senantiasa dikunjungi orang ramai, dan juga hampir dengan beberapa hotel 5 dan 4 bintang terkemuka. 

Kelihatan seperti beberapa orang kenamaan VIP baru sahaja tiba di hotel Mandarin Oriental sambil dikawal rapi oleh anggota pengiring polis peronda serta anggota keselamatan hotel bertaraf antarabangsa itu.

Dari atas bangunan kondominiumm  mewah One KL di tingkat 33, seorang lelaki yang bertubuh tegap dan berkulit sawo matang sedang berenang di dalam kolam renang persendirian. Sudah hampir setengah jam dia menghabiskan masa melakukan kuak lentang dan juga beberapa gaya renang, dan tiada tanda yang dia akan berhenti.

Fikirannya masih lagi buntu dan bercelaru. Emosi dan perasaan marah masih lagi meluap-luap. Dia tidak berpuas hati dengan kenyataan kawan baiknya yang juga bakal adik ipar telah mati begitu sahaja, di depan matanya. Dan dia tidak mampu berbuat apa-apa langsung.

Kertas siasatan kejadian tersebut telahpun ditutup dan kes diklasifikan sebagai kematian mengejut. Tidak ada tanda-tanda sebarang bentuk khianat atau dibunuh seperti yang didakwanya.

Walaupun dia adalah anak kepada seorang tokoh perniagaan dalam dunia korporat dan agak berpengaruh, namun tiada apa jua yang boleh dilakukan oleh pihak polis sebab tiada sebarang bukti.

"Joe!"

Suara seorang wanita dari tepi kolam renang itu memanggilnya dengan nada yang agak kurang puas hati.
Dia sedang berdiri dengan pakaian gaun berwarna biru yang agak menawan, sedang bercekak pinggang sambil merenung ke arah Joe yang langsung tidak memberi sebarang respons.

"Joe, dah lambat ni sayang oi!" jerit lagi wanita itu. Mukanya jelas amat marah.

Dilihatnya jam di tangan kirinya. Lagi 20 minit jam 9.30 malam.

Malam ini adanya majlis kenamaan yang diadakan di hotel Mandarin Oriental sempena Majlis Makan Malam Yanz Group yang diadakan buat julung kali pertama. Yanz Group merupakan sebuah konglomerat besar yang menjalankan pelbagai perniagaan antarabangsa, termasuk pembangunan dan perbankan.

Baru-baru ini, Yanz Group berjaya memperoleh keuntungan mencecah hampir US$2.6billion, hasil dari pembinaan beberapa buah hotel dan kompleks pasaraya di negara Asia Barat termasuk Dubai dan Arab Saudi.

"Joe!" teriaknya lagi, kali ini dengan lebih kuat.

Joe mengeluh kecil. Dia sememangnya malas nak menghadiri majlis sebegini, apatah lagi hatinya masih lagi dalam keadaan duka. 

"Kau nak pergi, pergi je seorang diri. I malas dan i takda mood." 

"What did you say?"

"I kata, u can go by yourself! Understand!"

Terkejut dengan jawapan yang diberikan, wanita tersebut terus berlari meninggalkan kolam renang tersebut. Tidak disangka dia akan dimarahi oleh Joe tanpa sebarang sebab dan selama bersama selama 2 tahun, ini adalah kali pertama.

Joe bersandar di tepi kolam renang sambil melihat keadaan sekeliling. Fikirannya hanya tertumpu pada satu sahaja dan dia langsung tak ambil peduli dengan apa yang berlaku tadi.

'Aku tak percaya kau bunuh diri, Ian. Mustahil!'

Seingat dia sehari sebelum kejadian, Ian ada mengatakan sesuatu kepadanya secara sms tentang suatu hal penting yang ingin dibincangkan. Dan mereka sepatutnya berjumpa pada hari tersebut untuk membincangkan selepas makan malam. Namun, perkara sebaliknya yang terjadi.

'Apa yang kau cuba nak beritahu aku...'



---



Cawangan D1
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ)
Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia
Bukit Aman
Sabtu
9.55pm



Ketua Inspektor Lukman Hakim sedang asyik meneliti laporan kes sedia ada di meja pejabatnya. Riak wajahnya yang serius membaca dengan penuh khusyuk setiap butir terperinci yang tertulis.

Selama bertugas sebagai anggota polis semenjak taman zaman persekolahan menengah sehingga kini, inilah kali pertama dia berdepan dengan satu tugas berat yang telah ditugaskan kepadanya.

Amanat dan perintah dari IGP serta Ketua JSJ yang diterimanya semalam amat berat. Kes yang dipertanggungjawabkan merupakan satu kes yang rumit. Sehingga kini tiada sebarang petunjuk yang nyata dan boleh memberikan sedikit penjelasan.

Dia menyemak semula kes tempoh hari di mana berlakunya kematian seorang gadis di rumahnya. Punca kematian berdasarkan laporan forensik dan pegawai perubatan adalah akibat sesak nafas. 

Dan di tempat kejadian yang sama, berlakunya tembakan yang mengorbankan hampir 11 orang anggota polis termasuk forensik serta seorang wanita yang merupakan ibu kepada gadis tersebut.

Anggota polis yang bertindak sedemikian membunuh diri sejurus selepas itu. Punca kejadian masih lagi disiasat.

'Sarjan Andrew Biru...' bisiknya sendiri apabila menatap wajah anggota polis itu serta laporan dari fail personal tentang latar belakangnya.

Soal siasat dari segi temubual rakan-rakan dan anggota polis yang dikenali Sarjan Andrew telah dijalankan dan tiada sebarang bukti untuk mengatakan emosi dan mentalnya berada dalam keadaan terganggu.


Knock Knock!


Bunyi ketukan pintu kedengaran. Pintu pejabatnya yang jelas tidak ditutup itu diketuk oleh seorang wanita bertudung biru dan berbaju kurung.

 Lukman Hakim yang sedari akan kehadiran wanita itu terus bangkit lalu berjalan ke arahnya.

"Sorry adik abang yang comel sebab tunggu lama, " katanya sambil mencuit pipi adik bongsunya yang bekerja di Muzium Polis Bukit Aman.

"Yanie tau le abang tu sibuk. Kalau dah sibuk, beritahu awal tadi kan senang, " balas adiknya.

"Dah makan belum?"

"Dah, sejam tadi dengan Aiza."

"Si Aiza tomboy tu ya? Jaga-jaga tau, " usik Lukman secara nakal.

"Abang ni teruk le. Aiza tu kan bini orang, " balas Yanie lalu mencubit lengan abangnya secara spontan.

Gelagat mereka selaku adik beradik dah menjadi satu kebiasaan. Mereka akan datang dan pulang bersama-sama setiap hari, kecuali jika salah seorang dari mereka bercuti.

"Abang?"

"Jap, bagi abang masa 5 minit, " balasnya sambil mengemas fail di atas mejanya itu.

"Er... abang dan Kak Julie camna?" tanya Yanie sambil membetulkan cermin matanya.

Lukman terdiam seketika. Hampir 2 minggu mereka tidak berhubung. Perkenalan yang diaturkan oleh 
adiknya itu ketika majlis harijadi Yanie yang ke-25 tempoh hari, membuahkan sedikit perasaan yang selama ini tidak wujud.

Mereka pernah keluar bersama-sama beberapa kali, namun perhubungan mereka berdua masih di peringkat awal dan dalam peringkat mengenali hati masing-masing.

Namun semenjak 2 minggu yang lepas hingga ke hari ini mereka tidak berhubung. Mungkin masing-masing sibuk, dan bagi dirinya itu adalah kebiasaan apatah lagi dalam kerjaya sebagai seorang anggota polis.

"Abang tak pasti. Lagipun sejak kebelakangan ini abang sibuk, dan abang rasa Julie pun sama. In sha allah bila senang nanti, abang call dia."

Selesai saja barang dikemaskan, mereka berdua meninggalkan pejabatnya untuk menuju pulang. Dalam perjalanan keluar, Lukman terserempak dengan Inspektor Ravindran yang baru sahaja pulang dari tugasan.

"Ravi, camna?" soal Lukman.

Ravindran tidak menjawab. Dia hanya mendiamkan diri sahaja, dengan matanya merenung tajam ke arah Lukman.

Yanie yang sedar dengan perubahan Ravi itu hanya berdiri di belakang Lukman. Beberapa anggota polis yang masih bertugas di tingkat tersebut hanya memerhatikan sahaja. Mungkin perkara biasa saja.

"Ravi, mana Chan?" soal Lukman lagi.

Masih lagi membisu. Wajah Ravi jelas berkerut dan seakan-akan sedang mengalami kesakitan yang amat sangat, namun dia tetap dia bersuara. Matanya masih lagi merenung tajam ke arah Lukman.

Inspektor Ravindran dan Inspektor Chan ditugaskan bersama-sama untuk mencari apa jua maklumat yang boleh diperolehi dari rumah Sarjan Andrew Biru, yang terletak di Cheras.

Seingat dia setengah jam dari tadi, Chan ada menelefonnya dan mengatakan Ravindran tiba-tiba meninggalkan rumah flat Desa Aman sejurus menjumpai sesuatu. Chan beranggapan mungkin Ravindran terpaksa pulang tergesa-gesa atas hal peribadi.

Lukman memberikan isyarat mata kepada 2 orang anggota polis yang kebetulan berada di belakang Ravindran, agar berhati-hati dan tidak bertindak sebarangan. Anggota yang lain mulai sedar suasana sedia bukan perkara biasa. Mereka masing-masing dalam keadaan bersiap sedia semenjak kes sarjan Andrew.

Lukman mengambil langkah ke depan menghampiri Ravindran. Dengan tidak semena-mena, Ravindran mengacukan sepucuk pistol ke arahnya. Dalam sekelip mata, Lukman berjaya menepis pistol Ravindran namun tembakan berjaya dilepaskan.

Ravindran jatuh ke atas lantai sebelum kedua belah tangannya dipegang dengan kuat oleh 2 orang anggota polis. Pistolnya terjatuh ke atas lantai.

Lukman tidak mengalami apa-apa kecederaan, tetapi...

"A... abang."

Yanie terduduk di tepi lantai dengan darah merah mengalir dari rusuk sebelah kirinya. Lukman dengan segera memeriksa kecederaan adiknya itu. Luka yang agak parah.

"Panggil ambulans, cepat!"

Bunyi tembakan tadi mengejutkan pegawai lain yang berada di bangunan itu. Pesuruhjaya Polis yang juga Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah serta beberapa anggota lain bergegas muncul di tempat kejadian.

Datuk Hassan Azlan Shah yang berumur hampir 60 tahun itu terkejut dengan apa yang dilihatnya.

Ravindran masih lagi di atas lantai dan cuba melepaskan diri dari genggaman dua orang anggota polis. Datuk Hassan memberi isyarat kepada anggota yang lain untuk membantu.

"Hahahahah!"

Ravindran berhenti bergelut sambil ketawa terbahak-bahak dengan kuat. Ketawanya bergema sebelum berubah menjadi satu jeritan yang nyaring.

Lukman terkejut dengan apa yang berlaku.

Suasana menjadi gelap dengan tidak semena-mena sebelum munculnya satu lembaga hitam yang berupa kepulan asap dari tubuh badan Ravindran.

Datuk Hassan tergamam, begitu juga anggota polis yang lain. Mereka dengan serta merta mengacukan pistol ke arahe lembaga hitam tersebut. Tiada sebarang bentuk wajah, hanya kepulan asap hitam yang tidak berbau memenuhi segenap lapisan jabatan D1 itu.

Sejurus kemudian satu jeritan nyaring memekikkan telinga mereka yang ada, sebelum satu hembusan angin yang kuat meresapi Datuk Hassan dan anggota yang lain. Monitor komputer, dan apa jua peralatan berkaca termasuk lampu siling pecah akibat impak jeritan yang datang dari lembaga tersebut.

Lukman cuba menekap telinganya dan Yanie sebaik mungkin sambil memeluk adiknya itu. Telinganya jelas sakit dan berdarah.

Suasana kemudian menjadi sepi seketika.

Lukman berdiri sambil memerhatikan gerak geri adiknya. Lemah, masih bernafas. Dia berpaling ke arah sekeliling. Dia tergamam dengan apa yang dilihatnya.

"Ya Allah."



















Monday, December 21, 2015

Bab 6

CIA
Langley Virginia
USA

Sabtu
12.30pm


Ketua Pengarah CIA yang berusia lewat 40-an sedang khusyuk membaca laporan siasatan kes kematian yang berlaku tempoh hari. Apa yang terjadi dirahsiakan dari maklumat orang ramai termasuk juga dari agensi kerajaan yang lain. Ianya sulit, dan tidak boleh dideahkan kepada sesiapa pun termasuk Presiden dan juga 'White House'.

Brian Cox yang baru menjawat jawatan yang dikira amat mencabar itu selama 2 tahun, meneliti setiap segi laporan yang disediakan 2 orang yang ditugaskan untuk menyiasat dari setiap sudut termasuk dari segi peribadi dan kerjaya.

Apa yang dilihatnya tempoh hari dalam rekod cctv hanya menunjukkan gerak geri Mike Tyler di dalam pejabatnya sambil tengah menjawab panggilan telefon. Sejurus kemudian, Mike Tyler berdiri sambil menuding jari ke arah depan, seperti ke arah seseorang. Namun tiada sesiapa pun di situ kecuali dirinya sendiri.

Kemudian dengan tidak semena-mena, dia mengeluarkan pistolnya yang disimpan di dalam laci mejanya lalu menghalakan ke arah sebelah kanan kepalanya. Wajahnya jelas nampak cemas dan pucat serta badannya mengigil.

Apa yang berlaku kemudian, menjurus ke harini.

Di dalam laporan itu, terdapat beberapa maklumat sulit berkaitan operasi tertentu yang tidak diketahuinya. Operasi yang telah dijalankan 5 tahun yang lepas, dan masih lagi berjalan. Dan dia langsung tidak dimaklumkan oleh Mike Tyler selaku Ketua Bahagian Jabatan Perisikan Khas.

"Jadi... Mike Tyler ada operasi tersembunyi yang saya langsung tak tahu?" soalnya secara tenang ke arah 2 orang individu yang duduk di hadapannya.

"Betul tuan." Jawab wanita berambut pendek yang berkaca mata di hadapan sebelah kirinya.

"Operasi itu hanya diketahui oleh bekas Ketua Pengarah CIA yang terdahulu dan arahannya adalah dari bekas Naib Presiden." Kata lelaki berkulit hitam, dan agak berumur yang duduk di hadapan sebelah kanannya.

"Bekas Naib Presiden? Maksud kau?"

"Presiden kita, di hari ini, " jawab Remy Jackson yang telah berkhidmat selama 20 tahun dalam agensi CIA, dan kini sebagai Pengarah Direktorat Sains dan Teknologi.

Brian Cox hanya mendiamkan diri seketika. Arahan terus dari Presiden? Secara rahsia?

"Operasi 'Beyond' berdasarkan maklumat yang sedia ada adalah tentang eksperimen saintifik dalam mengkaji paranorma serta dalam usaha untuk menambah baik kekuatan tentera negara. Mengikut laporan terkini yang diperolehi dari komputer Mike, operasi 'Beyond' telahpun mencapai level 3, " terang Nicole selaku Pengarah Direktorat Bahagian Operasi.

"Level 3? Spesifik?"

"Itu sahaja yang kita dapat. Namun dalam laporan tambahan yang kita berjaya 'decode', nampaknya ada berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini. Cuma kami tak pasti secara detail, " balas Nicole dengan tenang.

"Dan apa yang berlaku pada Mike, ada kaitannya dengan operasi 'Beyond', " sambung Remy.

 Brian Cox mengeluh kecil. Sejak bila CIA melibatkan diri dalam hal eksperimen saintifik dan paranorma? CIA diwujudkan demi keamanan dan keselamatan negara dalam membendung kegiatan 'terrorisme', memaklumkan hal-hal keselamatan di dalam dan luar negara kepada ketua negara, serta mengumpul maklumat perisikan.

"Teruskan siasatan anda berdua, secara senyap-senyap." Arahnya terus.

"Baik tuan."

Sebaik sahaja Nicole dan Remy melangkah keluar dari pejabatnya, Brian mengambil telefon bimbitnya lalu menelefon seseorang.

"Kita perlu berbincang, " katanya sejurus panggilan itu dijawab.



--



McDonald
Plaza Mont Kiara
Sabtu
4.30pm


Suasana di dalam restoran Mcdonald tu agak sibuk dengan ramai pengunjung sama ada secara berkeluarga atau sendirian, menikmati masa dengan hidangan Mcdonald di hari sabtu ini.

Cuaca yang sedikit sejuk dengan titisan air hujan masih lagi membasahi muka bumi kawasan Mont Kiara yang jelas sesak dengan pelbagai kenderaan keluar masuk, sama ada menuju ke Desa Hartamas mahu pun ke arah Solaris.

Eliza hanya memakukan pandangannya ke luar, melihat gelagat sepasang suami isteri yang agak berusia dengan sepasang anak mereka yang berusia dalam lingkungan belasan tahun,

Dilihat mereka dalam keadaan ceria dan gembira. Secara tak sedar, dia sebenarnya berasa cemburu. Cemburu kerana dia merindui saat sedemikian, sebelum 10 tahun yang lepas. Sebelum dia kehilangan mereka yang disayangi.

Eliza mengalihkan pandangannya ke arah laptop toshiba yang berada di depannya. Sambil meneliti laman facebook, dia meneguk air pepsi yang dibelinya bersama kombo Filet O Fish.

Di samping itu jua, dia sedang menaip sesuatu di kotak emel 'gmail' sebelum dia menerima satu kemasukan emel. Yang peliknya dia tak kenal pun pengirim emel itu dan ianya bukan merupakan 'spam'.

Apa yang dia pasti, tajuknya merupakan sesuatu yang pernah dilihatnya sebelum ini. Ini bukan kali pertama dia menerima emel sedemikian, cuma tidak diendahkannya. Tetapi harini dia lebih bersikap terbuka.

Apa sebenarnya kandungan emel ini? Kenapa ianya ditujukan padanya.

"Operation Beyond?"

Ditelitinya lagi kandungan emel itu.

"Seriously?"

Wajahnya berkerut dan seakan tidak percaya dengan apa yang baru dibacanya tadi. Dia tak berasa puas hati, lalu membalas balik emel tersebut.

"Who are you? What kind of nonsense and crap are you trying to tell me, and how the hell do you know my email and my name?"

Dihantarnya terus tanpa menapis kandungan ayat. Seketika kemudian, dia menerima maklum balas dari orang yang sama. Kali ini disertakan dengan gambar tanpa sebarang kandungan ayat.

Eliza terkejut apabila membuka gambar itu. Tangisan air mata mula mengalir tanpa dia sedari.










Sunday, December 20, 2015

Bab 5


Desa Putra Kondo
Sabtu
10.30am


Julie seperti kebiasaanya pada hari sabtu dan ahad akan menghabiskan masa seharian di kondonya yang terletak di tingkat 10.

Selama 2 tahun dia menginap di kawasan wangsa maju yang berhampiran dengan Aeon Big dan juga kompleks membeli belah Wangsa Walk. Namun, selama ini dia hanya ke sana sekali dua sahaja dalam tempoh 2 tahun ini.

Dia sedang bersandar di sofa ruang tamunya sambil menonton saluran Astro Awani. Dalam tempoh seminggu ni, pelbagai kisah misteri kematian dan juga pembunuhan dilaporkan serta dibincangkan oleh media massa.
Sehingga kini pihak polis masih lagi menjalankan siasatan dan tiada sebarang tangkapan dilakukan lagi.

Julie menghirup nescafe o panas sambil mengunyah roti yang disapu mentega. Hanya berbekalkan itu sebagai sarapan di pagi hari ini. Entah apa yang akan disediakan tengahari nanti untuk lunch.

Dia meneliti juga nota-nota dan fail kerja di hadapannya. Hampir seminggu dia tak dapat fokus kerja kerana hal minggu lepas. Sehingga kini dia tidak dapat pastikan sama ada apa yang berlaku adalah benar ataupun khayalan semata-mata.

Dato Wahid selaku bosnya telah memberi amaran kepadanya untuk bersikap lebih professional dan fokus kepada kerja, serta tidak mengabaikan mereka yang lain di pejabat.

Dalam pertemuan yang tidak dirancang oleh Julie, Dato Wahid menghabiskan masa hampir sejam hanya untuk memberi teguran dan juga cuba untuk membantu jika perlu.

Julie cuba sedaya upaya untuk tidak menceritakan sebab sebenar, hanya lebih kepada alasan kurang sihat.
Selama ini dia tidak pernah pun berbohong, namun dia terpaksa. Silap haribulan nanti dikatakan gila pula.

Dia mengeluh kecil, sambil melihat semula ke arah tv. Dia tertanya-tanya juga adakah benar ianya suatu misteri dalam kejadian malam khamis.

"Julie..." kedengaran suara seseorang membisik namanya.

Dia terkejut sebelum mug yang dipegangnya jatuh ke lantai. Dia menoleh sekeliling. Tiada sesiapa pun.
Suara itu, lebih kepada suara seorang gadis.

Selama dia menginap seorang diri di kondo tersebut, ini merupakan kali kedua dia mengalami keadaan sebegini. Minggu lepas dan hari ini. Pada hari yang sama juga, sabtu. Kebetulan? Tidak juga. Mungkin khayalan semata-mata.

"Julie..."

Lagi sekali kedengaran malah lebih kuat dari tadi.

"Siapa di sana?" jeritnya sambil berdiri. Dia cuba mencari punca suara tersebut tetapi takda. Di ruang tamu, hanya dia seorang sahaja di sisi sofa berdepan dengan tv.

"Takdir anda sedang menunggumu..." suara itu bergema sebelum beransur hilang.

"Takdir?" soalnya. Namun tiada lagi maklum balas.

"Siapa awak sebenarnya!" jeritan dia tidak berbalas.

Julie terduduk. Dia tidak sedari tangan kirinya sedikit luka akibat air panas dari mug yang jatuh tadi.
Dia lebih tertumpu dengan apa yang baru berlaku tadi.

Sudah gilakah dia? Apa yang sedang berlaku? Adakah suara itu khayalan atau imaginasi?
Apa yang dimaksudkan dengan takdir sedang menunggunya.

Kepalanya terasa berat dengan tidak semena-mena. Sakit, sebelum Julie rebah. Matanya tertutup sebelum dia tidak sedarkan diri.














Saturday, December 19, 2015

Bab 4


Izen@Kiara 1
Mont Kiara
Rabu
9.50pm


Eliza sedang rancak menaip papan keyboardnya sambil matanya sekali-kala memandang ke arah televisyen jenis LG 42 inci yang sedang ligat membicarakan tentang konfrontasi di antara 2 negara kuasa besar, Amerika dan Rusia yang sedang disiarkan CNN melalui saluran Astro.

Dia sebenarnya tak ambil port sangat tentang politik sama ada di dalam atau di luar negara, mahupun perkara-perkara yang lain kerana baginya adalah sesuatu yang sangat membosankan. Hidupnya yang suka bersosial dan liar sehingga kini baginya adalah satu keperluan untuk mengisi kekosongan hidupnya semenjak dia ditinggalkan ayahnya 10 tahun yang lepas, tanpa sebarang khabar.

"Eliza, " panggil seorang lelaki yang sedang berdiri di tepi katil bilik yang dihuni mereka.

Lelaki itu mula menanggalkan bajunya sebelum dia menyandarkan seluruh tubuhnya di bucu katil itu. Eliza bersikap selamba saja tanpa memberikan sebarang reaksi. Lelaki yang baru dikenalinya itu di kelab malam The Rabbit Hole semalam hanya dijadikan sebagai teman tidur.

Mata Eliza tertumpu pada sesuatu yang baru disedarinya ketika melayari blog-blog tertentu di alam maya. Hobinya yang suka mencari dan menyelidik tentang kisah-kisah misteri dan paranorma menjadi satu daya tarikan yang amat istimewa baginya semenjak berkenalan dengan seorang gadis yatim piatu tahun lepas.

Gadis berkenaan yang kematian ibu bapanya dalam satu kebakaran di rumahnya pernah mengatakan punca kebakaran tersebut dengan suatu entiti atau lembaga berwarna hitam yang muncul di rumahnya pada tengah malam hari kejadian. Namun ianya disanggah oleh pihak berkuasa sebagai bayangan dan imaginasi gadis itu. Kejadian kebakaran itu dikatakan adalah berpunca dari litar pintas.

Selang beberapa bulan kemudian, perkara yang sama berlaku di sebuah rumah kebajikan yang menempatkan gadis itu dan dia menyatakan juga perkara yang sama. Tiada sebarang kemalangan jiwa kerana kebakaran tersebut berjaya dipadamkan dengan cepat oleh 2 orang kakitangan yang bertugas di malam tersebut.

Punca kebakaran juga dikatakan sebagai litar pintas. Malangnya 2 orang kakitangan tersebut maut dalam kemalangan jalan raya selepas kejadian kebakaran itu.

Eliza berkenalan dengan gadis tersebut apabila dia menemani seorang rakan wanita yang mengunjungi rumah kebajikan tersebut. Perkenalan yang tidak dirancang akhirnya menjadikan mereka rapat sehinggalah 3 bulan yang lepas.

Gadis yang berusia 15 tahun itu hilang dari pusat kebajikan tersebut secara tiba-tiba. Sehingga kini pihak polis menemui jalan buntu dan kes kehilangan gadis ini masih lagi tmenjadi pertanyaan.

"Catherine...where are you, " soalnya sendiri sambil melihat gambar kecil dirinya bersama Catherine, seminggu sebelum dia hilang.

Eliza membaca blog yang ditulis dalam bahasa english itu menceritakan tentang misteri sebuah pulau yang berhampiran dengan Bermuda Triangle , tentang eksperimen misteri yang dijalankan segelintir kumpulan saintis dalam cubaan untuk membuka portal ke dunia yang lain.

"Interesting," bisik kecil hatinya sambil membelai rambut sisinya yang sedikit panjang.

"Eliza, jomlah."

Dia mengambil nafas pendek sebelum mengerling ke arah lelaki itu, yang sedang duduk di atas katil itu sambing merenungnya.

Eliza yang hanya berpakaian baju dan seluar pendek bangkit dari kerusinya lalu terus bergerak ke arah katil.
Blog yang bertajuk "Another World:Bermuda Triangle" terpampang di skrin laptopnya sebelum ianya menjadi gelap.


--


Tingkat 10
Menara Choy Fook On
Kuala Lumpur
Khamis
11.30am


Julie termenung seketika di dalam bilik pejabatnya. Dia langsung tidak menyedari akan kehadiran seorang gadis bertudung yang baru sahaja melangkah masuk.

Gadis itu hanya berdiri di depannya sambil memegang beberapa buah dokumen.

"Erm... Cik Julie?"

Senyap, tiada maklum balas dari Julie. Matanya masih lagi terarah ke arah monitor meja komputer. Tiada apa yang terpampang di skrin monitor tersebut kecuali gerakan screensaver yang berbentuk ombak.

"Cik Julie?"

Mata Julie masih lagi terpaku ke arah skrin monitor itu, ibarat ada sesuatu yang teramat menarik dan sukar diendahkan berada di hadapannya.

Secara fizikal, jasadnya  berada di dalam bilik pejabatnya tetapi fikiran dan mindanya ibarat berada di alam lain.

Fikirannya masih lagi mengimbau kejadian yang berlaku pada malam minggu lepas. Dia kurang pasti sama ada apa yang berlaku itu adalah benar-benar berlaku ataupun imaginasinya. Tetapi dia lebih yakin bahawa peristiwa itu benar-benar berlaku.

"Julie!"

Suara seorang lelaki yang agak berumur kedengaran dengan kuat mengejutkan dia dan juga gadis yang berdiri di hadapannya itu.

Matanya berkelip-kelip sebelum anak matanya dapat menangkap dengan jelas bayang 2 orang yang sedang berdiri di depannya.

Dia mengambil nafas seketika sebelum bangkit bangun dari kerusi yang empuk itu.

"Dato Wahid?'

Julie sememangnya terkejut dengan kehadiran Dato Wahid ke bilik pejabatnya. Riak mukanya jelas berubah.

"Awak okay ke, Julie? Saya perasan yang awak sedang mengelamun sampai tak sedar yang si Aida ni tercongot berdiri di depan mata awak."

"Erm, saya betul-betul minta maaf Dato, " katanya sambil memberi isyarat mata kepada Aida untuk meletakkan fail dan dokumen di atas mejanya.

Aida mengangguk faham lalu bergerak meninggalkan mereka berdua, sebaik dia meletakkan fail dan dokumen di atas mejanya.

"Aida, tolong tutupkan pintu ya. Thanks."

Arahan Dato Wahid itu jelas lantas dia menutup pintu pejabat itu sebaik dia melangkah keluar.

"Cik Julie, apa dah jadi dengan Cik Julie semenjak beberapa hari ni..., " soal hatinya sendiri.

Aida yang telah berkerja hampir setahun dengan Julie selama ini menganggap Julie sebagai seorang yang wanita yang cekal, tabah dan kuat dalam menghadapi apa jua cabaran. Apatah lagi sebagai seorang peguam yang adakalanya mengendalikan kes pro-bono, dugaannya amat berat.

Dan tak kira apa jua pengakhirannya, Julie tidak pernah mengaku kalah dan sentiasa fokus untuk mencari jalan dalam menyelesaikan apa jua masalah dan cabaran kerjayanya,

Tetapi semenjak awal minggu ini, keadaan seperti berubah sama sekali.

"Aida, Cik Julie okay tak?" tanya Azlan yang sedang duduk di meja kerjanya sambil menulis sesuatu.

Aida hanya tersenyum kecil. Dia sememangnya tahu Azlan ada perasaan terhadap Julie, namun tidak pernah dilayan.

"Entahle Azlan. Aku pun tak tahu..."



--


Wad ICU Tingkat 3
Hospital Kuala Lumpur
10.00pm


Suasana di unit ICU Hospital Kuala Lumpur yang terletak di tingkat 3 agak sunyi di waktu malam di malam hari khamis ini.

Jam dinding sudah menunjukkan angka 10. Hanya seorang jururawat sahaja yang berada di kaunter
jururawat itu.

Jururawat yang bernama June Lee sedang sibuk menulis sesuatu di buku log. Malah sekali kala dia akan melihat monitor di hadapannya untuk memantau keadaan pesakit sedia ada di unit ICU itu.

Dia berasa lega kerana setakat ini hanya ada 3 orang sahaja pesakit di wad unit ICU itu, termasuklah seorang anggota polis yang baru sahaja dimasukkan baru-baru ini.

Di samping itu jua, terdapat 2 orang anggota polis yang telah ditempatkan untuk mengawasi anggota polis tersebut. June Lee tidak mengetahui sebab-sebabnya secara terperinci, hanya ambil tahu apa yang perlu sahaja.

Dia melihat ke arah jam tangannya. Masih ada lagi sejam sebelum shif bertugasnya tamat untuk hari ini.
Dia mengeluh kecil sebelum bangkit dan memulakan langkah ke bilik pantri yang terletak di belakangnya.

Diambilnya sebuah mug kecil di tepi sinki lalu dibasuhnya. Kemudian dia mengisi air panas dari cerek sedia ada sebelum membancuh air nescafe.

Walaupun dia akan pulang sekejap lagi, tetapi dia dah rasa mula mengantuk. Dia menguap sekali dua sebelum anak matanya secara tiba-tiba menangkap satu bayang gelap yang tidak jelas, yang melintasi kaunternya dengan sekelip mata.

Mungkin salah seorang pegawai polis yang bertugas? Seingat dia tadi, seorang daripada mereka baru nak pergi makan walaupun dah lewat manakala yang seorang lagi masih berkawal.

"Mungkin si gemuk tadi kot..." soalnya sendiri.

Dia melangkah keluar ke arah kaunter sambil melihat sekeliling koridor dari pintu masuk unit ICU hingga ke bilik pesakit, namun tiada apa-apa.

"Eh, mana diorang?" apabila sedari pegawai polis yang bertugas pun tidak kelihatan.

Mungkin ke toilet kot, pujuk hatinya. Dia mengeluh kecil sambil mengeliat. Memang dah mengantuk sangat dah ini.

Dia duduk semula di atas kerusi sambil menyambung semula catitan laporan dalam buku log jururawat bertugas.

Namun dia berasakan pelik seketika apabila dia melihat semula monitor di hadapannya. Ada sesuatu yang tak kena.

Kenapa hanya ada 2 status pesakit sahaja? Kan ada 3 orang. Lagi 1?

Di saat itu jua dia terdengar bunyi tapak kaki yang sedang melangkah ke arahnya dari bilik pesakit.

June Lee berasa tidak sedap hati. Bulu romanya meremang secara tiba-tiba. Seingatnya kali terakhir dia mengalami perasaan sebegini adalah sewaktu 3 bulan yang pertama di unit ICU pada 5 tahun yang lepas. Tapi waktu itu hanyalah sekadar perasaan dan tiada apa-apa yang berlaku.

Malangnya malam ini bukanlah seperti 5 tahun yang lepas.

Bunyi tapak kaki itu semakin hampir. June Lee bangkit secara perlahan-lahan sambil memegang telefon.
Tiada bunyi nada.

Matanya melihat kawasan sekeliling untuk mencari punca bunyi tapak kaki itu, tapi tiada apa-apa pun.
Dia menarik nafas lega. Mengantuk sungguhkah dia sampai boleh terbayangkan perasaan takut camni.

Bunyi tapak kaki itu kedengaran semula. Kali ini di belakangnya pula.

Rasa seram sejuk mula menyerang seluruh tubuh badannya. June Lee kaku. Hatinya berdebar-debar.
Selama 26 tahun dia hidup di muka bumi ini, inilah kali pertama dia menghadapi keadaan sebegini. Hantu? Takkan kot...

Dia berpaling perlahan-lahan.

Matanya terbeliak, nafasnya terasa sesak.

Satu jeritan kuat bergema, lantas memecahkan kesunyian di malam itu.









Wednesday, December 16, 2015

Bab 3

CIA
Langley, Virgina
USA
2.30pm


Pejabat yang terletak di tingkat 2 bangunan itu rancak dengan pergerakan kakitangan bertugas yang tampak terkejut dengan apa yang baru sahaja berlaku tadi.

Tidak disangka-sangka mereka seorang kenalan yang juga merupakan ketua bahagian jabatan perisikan khas telah mati di dalam pejabatnya.

Bilik pejabatnya yang terletak hampir dengan bilik mesyuarat di tepi pintu masuk jabatan tersebut, kini dipenuhi oleh beberapa agen khas termasuk Ketua Pengarah CIA itu sendiri.

Masing-masing dengan pelbagai andaian sedia ada kerana adanya sepucuk pistol jenis Baretta 92s yang jelas digenggam dengan erat di tangan kanan lelaki yang terlantar di atas lantai pejabat tersebut.

Kesan darah merah yang masih membasahi lantai tersebut dan mengalir dari luka tembakan di sisi kanan kepala lelaki yang masih di awal 30-an dengan wajah yang jelas menggerunkan.

"Tuan!"

Ketua Pengarah CIA itu berpaling ke arah seorang pegawai khas yang sedang berdiri di luar pintu masuk pejabat itu.

"Puncanya?" soalnya dengan nada yang agak keras walaupun sedikit serak.

"Saya rasa lebih baik Tuan lihat sendiri, " balas lelaki muda itu dengan riak wajah yang pucat.



---



Utara Alaska
USA
9.00pm


Seorang lelaki sedang duduk di tepi khemahnya sambil mengirup minuman panas di samping menikmati pandangan langit yang cukup indah tika itu.

Tiupan angin yang sejuk dengan suhu di bawah 2 darjah celcius memenuhi persekitarannya yang terletak agak jauh. Jauh dari bandar yang terdekat mahupun pekan sedia ada. Yang terdekat pun bandar Prudhoe Bay, 10km dari mana dia berada sekarang.

Beradanya dia di sana adalah demi untuk menjejaki rakan karibnya yang telah menghilangkan diri tanpa sebarang berita semenjak seminggu yang lepas.

Rakan karibnya yang selama ini dikenali sebagai seorang yang periang dan peramah berubah watak menjadi seorang pendiam dan muram semenjak 3 minggu yang lalu. Apa yang dia tahu, perubahan itu berlaku semenjak rakan karibnya itu menerima sebuah bungkusan kotak yang tidak diketahui dari mana asal usulnya.

Ivan menjadi bingung, dengan pelbagai andaian yang sedang bermain di kotak fikirannya. Dari segi keselamatan dirinya dan juga Liza yang telah lama dikenalinya semenjak zaman persekolahan. Walaupun perhubungan mereka selama ini kekal sebagai rakan karib, namun jauh di sudut hatinya telah lama wujud perasaan cinta. Cuma ianya tidak pernah diluahkan, demi menjaga hubungan yang terjalin selama ini.

Ivan tertanya-tanya sejak dari senja tadi setelah dia meyiapkan khemah, tentang persoalan Liza sanggup datang ke Utara Alaska, tempat yang tidak pernah didatangi Liza dan dirinya juga.

Dari apa yang diselidiknya sendiri apabila Liza menghilangkan diri 2 minggu lepas sehari sebelum rancangan mereka untuk bercuti di Genting Highlands, adalah catatan Liza tentang keinginan untuk datang ke Utara Alaska tanpa sebarang sebab. Hanya catatan yang sama selama seminggu, dari mula dia menerima bungkusan kotak tersebut sehinggalah sehari sebelum dia hilang.

Ivan menghirup lagi minuman air kopi cokelat yang sudah hampir hilang kepanasannya. Suasana yang sunyi dengan tiupan angin yang sejuk di waktu tersebut benar-benar menguji dirinya. Walaupun dia pernah mengembara sebelum ini seorang diri, tetapi ini adalah kali pertama dia berada di suatu tempat yang tidak pernah dirancang.

Dia hampir putus asa, namun nasib menyebelahinya apabila seorang wanita tua yang ditemuinya di sebuah bar di Prudhoe Bay semalam mengenali wajah Liza. Berdasarkan maklumat yang diperolehinya, Liza dikatakan menuju ke arah Utara 20 km dari mana mereka berada.

Suasana yang sunyi itu secara tiba-tiba ditemani dengan bunyi tapak kaki yang sedang berjalan dan menghampiri tempat di mana dia berada sekarang.

Ivan agak terkejut, dengan perasaan takut mula menyelubungi dirinya. Adakah ianya haiwan berupa serigala atau beruang? Namun bunyi pergerakan tapak kaki di kawasan ais salji itu lebih kepada pergerakan tapak kaki manusia. Ke arah khemah Ivan tanpa sebarang cahaya lampu suluh.

Ivan bangkit dari tempat duduk kecilnya itu lalu mengambil lampu suluh berserta senapang patah dari dalam khemahnya.

"Ivan?"

Ivan terkejut. Suara itu... Suara Liza.

"Liza?"

Ivan melihat-lihat sekeliling khemahnya sambil menyuluh sana sini, tetapi tidak kelihatan sesiapa pun.
Nafas Ivan mula tidak teratur, jantungnya berdegup dengan kencang malah seluruh tubuhnya seram sejuk lebih daripada apa dirasainya tadi.

"Ivan..."

Bisikan suara itu kedengaran dari belakangnya...


---



Afrika Selatan
1.00am


Waktu malam yang dingin disinari dengan cahaya bulan yang sekali kala dilitupi oleh awan yang mulai mendung secara perlahan lahan.

Sinaran yang menyinari hutan tebal dan basah itu selepas hujan lebat di awal hari memperlihatkan gerak geri 2 orang lelaki yang sedang berlari lari ke dalam pedalaman hutan itu.

Peluh keringat membanjiri wajah mereka yang jelas keletihan namun sebagai seorang doktor dan mereka yang berkemahiran dalam perubatan, perkara ini adalah hanyalah perkara biasa demi menyelamatkan nyawa manusia apatah lagi di negara yang kadang kala bermasalah.

Perkampungan yang berada di hadapan mereka adalah gelap gelita tanpa sebarang cahaya lampu dinyalakan. Walhal kampung tersebut baru sahaja menerima bantuan kemudahan elektrik dan lampu rumah serta jalan dipasang.

"Doktor, kenapa senyap sunyi je perkampungan ini malam ni? Tak seperti seminggu yang lepas pun, "soal pemuda kulit putih itu yang menjadi jururawat di bawah pengawasan doktor lelaki Asia itu.

Mereka masing-masing berdiri di hadapan perkampungan orang asli yang menjadi tempat lawatan mereka minggu ini. Walaupun waktu dah lewat namun 2 hari yang lepas tidaklah sunyi , dengan adanya beberapa pemuda dan orang yang berumur berbual di hadapan pintu masuk.

Apa yang jelas, sekarang bukanlah seperti 2 hari yang lepas.

Doktor Liew yang berasal dari negara Malaysia selama ini telahpun berkhidmat di kebanyakkan negara timur dan juga Amerika Selatan di bawah UN (United Nation) telah menempuhi pelbagai cabaran dalam bidang kerjayanya.

Tetapi apa yang terjadi sekarang merupakan yang pertama kali dan lain daripada yang lain. Bau darah dapat dirasakan di sekeliling perkampungan itu, malah ianya menjadi semakin kuat lagi.

"Steve, tinggalkan tempat ini segera."

Steve agak terkejut. Inilah kali pertama dia diarah sedemikian dalam tempoh 5 tahun bersama sama dengan Doktor Liew. Dia sememangnya agak gentar apabila bau darah itu menusuk hidungnya tanpa henti-henti.

Perkampungan yang menjadi tempat mereka mencurahkan pertolongan dari segi perubatan minggu ini kini bukan lagi tempat yang dikenali mereka semenjak dari pagi tadi.

Kalau ikutkan perancangan mereka, harini mereka sepatutnya berada di Cape Town untuk menghadiri sebuah persidangan yang dianjurkan oleh WHO berkenaan hal-hal kesihatan sedunia serta maklumat terbaru tentang apa jua penyakit terkini yang berbahaya.

Steve menggelengkan kepalanya tanda tidak setuju dengan arahan Doktor Liew. Doktor Liew hanya tersenyum. Dia tahu perangai Steve yang agak degil dan tak kenal erti putus asa itu.

Steve menyuluh lampu picitnya ke arah hadapan dan bergerak seiring Dr Liew secara perlahan-lahan memasuki perkampungan yang dikenali sebagai Gwacu.

Rumah papan sedia ada yang terletak di bahagian tepi jalan masuk perkampungan itu dengan tingkap dan pintu yang jelas terbuka luas. Malah terdapat juga kesan-kesan barang pecah dan tanah yang dikorek di setiap kawasan rumah sedia ada.

"Dr Liew, ada bunyi..." bisik Steve dengan suara yang jelas gementar. Namun dilihatnya wajah Dr Liew yang tampak serius dan tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Mereka berdua berdiri di tengah-tengah jalan tegak dengan rumah papan di sebelah kiri dan kanan. Di depan dan di hujung jalan tersebut adalah tempat di mana mereka berjumpa dengan penduduk kampung Gwacu setiap hari.

Bau darah jelas datang dari arah tersebut.

"Jangan hiraukan bunyi itu, dan jangan biarkan ketakutan menguasaimu. Ingat Steve!" kata Dr Liew dengan tegas tanpa menoleh ke arah lelaki warganegara amerika itu.

Bunyi yang menyerupai sesuatu benda sedang diseret jelas kedengaran, tetapi tidak kelihatan apa-apa pun di hadapan mereka.

Steve tergamam dengan teguran Dr Liew. Selama mengenalinya, dia tidak pernah lihat sikap Dr Liew sebegini kerana baginya Dr Liew adalah seorang yang periang walau macam mana pun rintangan dan kesukaran yang dihadapinya.

Dr Liew berhenti berjalan apabila di hadapan mereka munculnya kepulan asap yang kehitaman dengan secara tiba-tiba. Darah merah yang pekat mengalir dengan banyak dan membasahi permukaan tanah.

Wajah Steve berubah menjadi pucat lesu , lantas secara tiba-tiba dia terjatuh ke atas tanah yang basah dengan darah merah pekat. Tanpa diduga, seluarnya basah ...

"D..doktor, apa tu...?" katanya dengan terketar-ketar sambil jari tangan kanannya dituding ke arah sebuah lembaga yang besar di hadapan mereka.

Dr Liew sekadar mengalihkan cermin mata yang dipakainya lalu dicampak ke tepi. Matanya dipejam seketika sebelum dihembuskan satu keluhan yang agak berat.

"Nampaknya takdir tetap mengejarku walaupun aku cuba mengelaknya selama ini, " keluh Dr Liew sebelum mengukir sebuah senyuman sambil memakukan pandangannya ke arah lembaga tersebut.

Mulut Steve ternganga apabila berbelas mayat penduduk kampung Gwacu mulai jatuh ke tanah apabila dihumban oleh lembaga besar itu yang kini hampir menyerupai seekor serigala gergasi dengan mata yang ganas dan merah menyala.

Hakikatnya, lembaga besar itu merupakan kepulan asap hitam yang menyerupai bentuk serigala gergasi dengan mulutnya masih lagi mengunyah sebelum meludah keluar cebisan daging dan tulang manusia .

Suasana persekitaran menjadi sejuk dan kelam. Steve menggigil ketakutan, pasti dia dan Dr Liew akan mati juga di dibaham lembaga serigala gergasi itu.

Dia sepatutnya pulang ke Amerika lewat petang tadi atas urusan peribadi tetapi hatinya degil dan turut mahu mengikuti Dr Liew kembali ke kampung Gwacu. Walhal urusan mereka di sini sudahpun tamat. Tetapi Dr Liew bercadang untuk kembali sendirian sejurus tiba di Cape Town dengan alasan tersendiri.

Disebabkan kedegilannya juga, dia bakal mati di malam ini...

"Steve, tutup mata. Sekejap lagi semuanya okay je, " kata Dr Liew dengan penuh kenyakinan sambil memberikan tanda jari "OK".

Steve benar-benar tak percaya dengan tingkah laku Dr Liew. Dia tak takut langsung ke, atau dia dah gila. Adakah aku sedang bermimpi ngeri, fikirnya sendiri.

Dilihatnya sahaja Dr Liew mula berlari terus ke arah lembaga serigala gergasi tersebut tanpa berlengah lengah.

"Doktor Liew!!!" Steve menjerit sebelum sebuah kilaun cahaya mula menyinari seluruh perkampungan Gwacu itu.

Steve cuba melihat apa yang berlaku namun kilaun cahaya itu amat menyakitkan dan dengan tidak semena-mena, tubuhnya dirasakan tercampak ke belakang seperti sebuah tiupan angin yang kuat menolaknya.

Dia terjatuh pengsan apabila kepalanya terhantuk dinding kayu rumah papan di sebelah kirinya.
Hujan mulai turun apabila dentuman kilat menyinari langit di atas.

Selang setengah jam kemudian, Steve terjaga. Kepalanya sakit, dengan kesan luka di tepi telinga kanannya.
Hujan lebat masih membasahi bumi dia berpijak.

Dia cuba berdiri sambil melihat-lihat ke arah hadapan. Penglihatannya agak kabur sedikir.

"Doktor? Doktor Liew?"

Panggilannya tidak berjawap. Sedikit demi sedikit penglihatannya mulai jelas. Pandangannya tertumpu ke arah mayat yang bergelimpangan di depan, penduduk Gwacu yang baru dikenalinya kurang seminggu. Masing masing dengan kesan cebisan daging terkoyak dan dalam keadaan menyayat hati.

"Doktor!"

Masih tidak berjawap. Titisan air hujan sedikit sebanyak mengaburi pandangan matanya ke arah depan, di mana tempatnya lembaga serigala gergasi itu berada tadi.

Wajahnya berkerut apabila pandangannya menjadi jelas.
Mulutnya ternganga, kurang percaya dengan apa yang dilihat.

"Doktor Liew!!!"























Monday, December 14, 2015

Bab 2

Berita waktu malam yang sedang disiarkan di seluruh negara kini banyak menceritakan tentang apa yang berlaku di sebuah rumah teres yang terletak hampir ddengan kawasan bukit bintang.

Sama ada kejadian tembak menembak oleh anggota polis yang terlibat dan mengorbankan jiwa serta nyawa hampir semua anggota yang lain termasuk seorang wanita, adalah disebabkan tekanan jiwa atau bermotifkan perkara lain.

Yang pasti hanya ada seorang sahaja yang terselamat dalam tragedi itu, namun keadaannya masih lagi kritikal dan dia kini ditempatkan di ICU HKL.

-

Dia hanya melihat perkembangan berita itu yang disiarkan oleh saluran Astro Awani di kaca tv hdtv led jenama samsung. Dia langsung tidak hiraukan deringan nada telefon yang bergema dari telefon bimbit samsung galaxy 6 edge yang baru dibelinya semalam.

Nama "Zora" yang terpampang di skrin telefon itu bersertakan wajah seorang gadis yang tampak tembam dan agak mirip seorang artis hanya dibiarkan sahaja, walaupun anak matanya tertumpu seketika ke skrin telefon itu.

Apa yang sedang dilihatnya kini merupakan sesuatu yang amat penting. Kes yang sedang heboh dibincangkan di setiap arus perdana dan media massa sedia ada bukanlah suatu kes yang mudah, walaupun ianya akan berakhir dengan jawapan yang mudah bagi pihak berkuasa.

"Nampaknya masa sudahpun tiba untuk dia tahu semua ni, " bisik kecil hatinya sambil bingkas bangun dari sofa dan melangkah ke arah jendela ruang tamunya itu.

Dilihatnya dari kondominium yang diduduki di tingkat 5 ke arah sebuah kereta Bmw jenis i8 berwarna hitam yang diparkir di tepi jalan. Kelibat seorang lelaki yang sedang berdiri di tepi pintu kereta itu lalu dia melambai ke arahnya.

Lambaiannya berbalas lalu dia tersenyum sebelum berpaling ke arah tv yang terletak di ruang tamu rumahnya.

"Dah lama tunggu ya...?" getus hatinya sambil tersenyum.

Dia bergerak menuju ke arah sofa yang didudukinya tadi untuk mengambil telefon bimbit samsung galaxy 6 edge yang berwarna putih itu. Paparan 10 kali "missed call" dari Zora dengan beberapa jenis pesanan whatsapp serta telegram.

Sekujur tubuh hitam yang diselubungi asap muncul secara tiba-tiba di belakangnya. Nyalaan cahaya di ruang tamu itu berubah menjadi gelap dengan serta merta.

"Nampaknya aku terlewat..."


--


"Mana dia bang!?" bebel suara seorang wanita di talian telefon yang sedang dipegang oleh Joe sambil berdiri menyandari kereta bmw i8 miliknya. Dia hanya memandang ke arah jendela tingkat 5 selepas melambai tangan ke arah kawan karibnya yang juga merupakan teman lelaki adik perempuannya.

"Jap lagi dia sampai le, wahai adik abang oi..." usik Joe sambil melihat jam tangannya. Dah hampir jam 6.30 petang.

Bunyi jendela tingkap pecah kedengaran secara tiba-tiba, mengejutkan Joe serta beberapa orang yang berada di tepi jalan itu.

Dilihat mereka susuk tubuh seorang lelaki terjatuh keluar dari tingkat 5 itu dengan tidak semena-mena.

Bunyi dentuman yang kuat kedengaran apabila tubuh tersebut rebah ke bumi, dengan jeritan beberapa orang yang berada situ.

Joe tergamam dengan apa yang berlaku di depan matanya.

"Abang! Abang...!" teriakan Zora dari telefonnya dibiarkan tanpa sebarang jawapan.