Thursday, July 9, 2015

Bab 1

Deringan loceng yang sentiasa menjadi rutin setiap pagi menjelang waktu subuh kedengaran di dalam bilik tidurnya.
Reaksinya pula bukan seperti kebiasaan, malah langsung tidak menampakkan sebarang reaksi. Tubuhnya sekadar terlentang di atas katil itu dengan bantal tidur yang berwarna putih dibasahi dengan air yang berwarna merah pekat.
Matanya terbeliak dengan pandangan yang menghala ke arah siling biliknya. Apa jua yang dilihatnya tidak lagi kelihatan.
Di celah jari jemari tangan kanannya, terselit sekeping gambar yang agak pudar gambarannya. Namun apa yang jelas adalah wajah seorang gadis bersebelahan dengan seseorang yang tidak menampakkan sebarang wajah yang jelas. Apa yang pasti , tarikh dan masa gambar itu diambil masih lagi kelihatan - 20 tahun yang lepas.
Bunyi ketukan pintu kedengaran sebelum pintu bilik tidur itu dibuka perlahan-lahan.
"Amanda, bangun!! Bunyi jam loceng dah berdering tak henti-henti langsung tak sedar dia ya!"

Becok mulut seorang wanita yang agak berumur itu tanpa henti-henti. Dia pun tak tahu apa yang terjadi pada anaknya hari ini. Selalunya dia akan bangun awal sebelum loceng berbunyi, malah tak pernah pun bangun lambat selama ini.
Memang dia tahu anak perempuan seorang ini selalu balik lewat disebabkan kerjanya, namun itu bukan satu alasan untuk bangun lewat, apatah lagi jam dah hampir pukul 11 pagi.
"Amanda, bangun!"
Dia bergerak menghampiri tubuh badan Amanda yang kaku dan tidak bernyawa itu.Hatinya tersentak malah dirasakan bagai jantungnya berhenti denyut.
Darah!! Kaku!
"Amanda!!"

2 Jam kemudian...

Bilik tidur milik Amanda dikerumuni dengan beberapa orang anggota polis, forensik dan koroner. Masing-masing sedang sibuk mencari penunjuk dan sebarang maklumat tentang apa yang telah terjadi pada Amanda sehingga dia dijumpai mati pagi ini.
Ibu Amanda masih lagi dalam keadaan terkejut, dengan tangisan masih mengalir sekali-sekala. Baginya, Amanda adalah segala-galanya walaupun adakala mereka tidak sependapat dan pernah bertengkar. Namun, perasaan kasih sayang tidak pernah lekang darinya.
"Inspektor, ada kesan lilitan hitam di leher mangsa, " lapor Sarjan Andrew sambil membetulkan cermin matanya.
Bagi Andrew, kes kali ini amatlah berlainan dari kebiasaannya. Tidak ada sebarang penunjuk yang mengatakan ada penceroboh yang berjaya memasuki bilik Amanda dan membunuhnya begitu sahaja, tanpa meninggalkan sebarang kesan dalam masa yang singkat.
"Waktu kematian?" soal Inspektor Hendry Matt yang agak berumur dengan rambutnya yang jarang dan beruban. Dari pengamatannya, mungkin mangsa membunuh diri tetapi bagaimana?
"Di antara jam 5 ke 7 pagi tadi inspektor."
Hendry Matt mengerutkan dahinya, sambil otaknya ligat cuba memikirkan sesuatu.
"Punca kematian?" soalnya semula.
Andrew membisu seketika.
"Sarjan?"
Andrew ibarat termenung ke arah siling ruang tamu dengan pandangan yang mengasyikkan. Dia langsung tidak menyedari teguran Hendry Matt yang berada di hadapannya itu.
"Andrew!" tegur Hendry Matt sambil meletakkan tangan kanannya ke atas bahu kiri Andrew.
Apa yang berlaku kemudian memang langsung tidak dijangka oleh Hendry Matt mahupun anggota polis yang lain.

BANG! BANG! BANG!!

Bunyi tembakan dari pistol glock kepunyaan Andrew bergumandang di dalam rumah milik ibu Amanda. Tubuh demi tubuh manusia yang ada jatuh rebah dengan percikan darah menghiasi ruang tamu rumah itu.
Ibu Amanda yang sedang duduk di atas sofa ruang tamu itu juga tidak terkecuali. Tubuhnya terlantar di atas lantai itu di sisi tubuh Inspektor Hendy Matt yang kini dalam keadaan nyawa-nyawa ikan. Sama ada dia akan menyertai anggota yang terkorban ataupun menjadi satu-satunya yang hidup bakal terjawab.
Andrew ibarat seorang yang sedang dirasuk dan hilang kewarasannya dalam sekelip mata itu. Hujung pistol glock itu kini diacukan pula ke arah dirinya sendiri.

BANG!

Tubuh badan Andrew jatuh menyembah lantai dengan kepalanya yang pecah akibat tembakan di kepala. Darah merah pekat mengalir dan mewarnai lantai ruang tamu itu dengan warna kemerahan yang bersifat ganas.
Hendry Matt berasa sukar untuk bernafas. Sesak... Sejuk... Matikah aku, kali ini...?

No comments:

Post a Comment