CIA
Langley, Virgina
USA
2.30pm
Pejabat yang terletak di tingkat 2 bangunan itu rancak dengan pergerakan kakitangan bertugas yang tampak terkejut dengan apa yang baru sahaja berlaku tadi.
Tidak disangka-sangka mereka seorang kenalan yang juga merupakan ketua bahagian jabatan perisikan khas telah mati di dalam pejabatnya.
Bilik pejabatnya yang terletak hampir dengan bilik mesyuarat di tepi pintu masuk jabatan tersebut, kini dipenuhi oleh beberapa agen khas termasuk Ketua Pengarah CIA itu sendiri.
Masing-masing dengan pelbagai andaian sedia ada kerana adanya sepucuk pistol jenis Baretta 92s yang jelas digenggam dengan erat di tangan kanan lelaki yang terlantar di atas lantai pejabat tersebut.
Kesan darah merah yang masih membasahi lantai tersebut dan mengalir dari luka tembakan di sisi kanan kepala lelaki yang masih di awal 30-an dengan wajah yang jelas menggerunkan.
"Tuan!"
Ketua Pengarah CIA itu berpaling ke arah seorang pegawai khas yang sedang berdiri di luar pintu masuk pejabat itu.
"Puncanya?" soalnya dengan nada yang agak keras walaupun sedikit serak.
"Saya rasa lebih baik Tuan lihat sendiri, " balas lelaki muda itu dengan riak wajah yang pucat.
---
Utara Alaska
USA
9.00pm
Seorang lelaki sedang duduk di tepi khemahnya sambil mengirup minuman panas di samping menikmati pandangan langit yang cukup indah tika itu.
Tiupan angin yang sejuk dengan suhu di bawah 2 darjah celcius memenuhi persekitarannya yang terletak agak jauh. Jauh dari bandar yang terdekat mahupun pekan sedia ada. Yang terdekat pun bandar Prudhoe Bay, 10km dari mana dia berada sekarang.
Beradanya dia di sana adalah demi untuk menjejaki rakan karibnya yang telah menghilangkan diri tanpa sebarang berita semenjak seminggu yang lepas.
Rakan karibnya yang selama ini dikenali sebagai seorang yang periang dan peramah berubah watak menjadi seorang pendiam dan muram semenjak 3 minggu yang lalu. Apa yang dia tahu, perubahan itu berlaku semenjak rakan karibnya itu menerima sebuah bungkusan kotak yang tidak diketahui dari mana asal usulnya.
Ivan menjadi bingung, dengan pelbagai andaian yang sedang bermain di kotak fikirannya. Dari segi keselamatan dirinya dan juga Liza yang telah lama dikenalinya semenjak zaman persekolahan. Walaupun perhubungan mereka selama ini kekal sebagai rakan karib, namun jauh di sudut hatinya telah lama wujud perasaan cinta. Cuma ianya tidak pernah diluahkan, demi menjaga hubungan yang terjalin selama ini.
Ivan tertanya-tanya sejak dari senja tadi setelah dia meyiapkan khemah, tentang persoalan Liza sanggup datang ke Utara Alaska, tempat yang tidak pernah didatangi Liza dan dirinya juga.
Dari apa yang diselidiknya sendiri apabila Liza menghilangkan diri 2 minggu lepas sehari sebelum rancangan mereka untuk bercuti di Genting Highlands, adalah catatan Liza tentang keinginan untuk datang ke Utara Alaska tanpa sebarang sebab. Hanya catatan yang sama selama seminggu, dari mula dia menerima bungkusan kotak tersebut sehinggalah sehari sebelum dia hilang.
Ivan menghirup lagi minuman air kopi cokelat yang sudah hampir hilang kepanasannya. Suasana yang sunyi dengan tiupan angin yang sejuk di waktu tersebut benar-benar menguji dirinya. Walaupun dia pernah mengembara sebelum ini seorang diri, tetapi ini adalah kali pertama dia berada di suatu tempat yang tidak pernah dirancang.
Dia hampir putus asa, namun nasib menyebelahinya apabila seorang wanita tua yang ditemuinya di sebuah bar di Prudhoe Bay semalam mengenali wajah Liza. Berdasarkan maklumat yang diperolehinya, Liza dikatakan menuju ke arah Utara 20 km dari mana mereka berada.
Suasana yang sunyi itu secara tiba-tiba ditemani dengan bunyi tapak kaki yang sedang berjalan dan menghampiri tempat di mana dia berada sekarang.
Ivan agak terkejut, dengan perasaan takut mula menyelubungi dirinya. Adakah ianya haiwan berupa serigala atau beruang? Namun bunyi pergerakan tapak kaki di kawasan ais salji itu lebih kepada pergerakan tapak kaki manusia. Ke arah khemah Ivan tanpa sebarang cahaya lampu suluh.
Ivan bangkit dari tempat duduk kecilnya itu lalu mengambil lampu suluh berserta senapang patah dari dalam khemahnya.
"Ivan?"
Ivan terkejut. Suara itu... Suara Liza.
"Liza?"
Ivan melihat-lihat sekeliling khemahnya sambil menyuluh sana sini, tetapi tidak kelihatan sesiapa pun.
Nafas Ivan mula tidak teratur, jantungnya berdegup dengan kencang malah seluruh tubuhnya seram sejuk lebih daripada apa dirasainya tadi.
"Ivan..."
Bisikan suara itu kedengaran dari belakangnya...
---
Afrika Selatan
1.00am
Waktu malam yang dingin disinari dengan cahaya bulan yang sekali kala dilitupi oleh awan yang mulai mendung secara perlahan lahan.
Sinaran yang menyinari hutan tebal dan basah itu selepas hujan lebat di awal hari memperlihatkan gerak geri 2 orang lelaki yang sedang berlari lari ke dalam pedalaman hutan itu.
Peluh keringat membanjiri wajah mereka yang jelas keletihan namun sebagai seorang doktor dan mereka yang berkemahiran dalam perubatan, perkara ini adalah hanyalah perkara biasa demi menyelamatkan nyawa manusia apatah lagi di negara yang kadang kala bermasalah.
Perkampungan yang berada di hadapan mereka adalah gelap gelita tanpa sebarang cahaya lampu dinyalakan. Walhal kampung tersebut baru sahaja menerima bantuan kemudahan elektrik dan lampu rumah serta jalan dipasang.
"Doktor, kenapa senyap sunyi je perkampungan ini malam ni? Tak seperti seminggu yang lepas pun, "soal pemuda kulit putih itu yang menjadi jururawat di bawah pengawasan doktor lelaki Asia itu.
Mereka masing-masing berdiri di hadapan perkampungan orang asli yang menjadi tempat lawatan mereka minggu ini. Walaupun waktu dah lewat namun 2 hari yang lepas tidaklah sunyi , dengan adanya beberapa pemuda dan orang yang berumur berbual di hadapan pintu masuk.
Apa yang jelas, sekarang bukanlah seperti 2 hari yang lepas.
Doktor Liew yang berasal dari negara Malaysia selama ini telahpun berkhidmat di kebanyakkan negara timur dan juga Amerika Selatan di bawah UN (United Nation) telah menempuhi pelbagai cabaran dalam bidang kerjayanya.
Tetapi apa yang terjadi sekarang merupakan yang pertama kali dan lain daripada yang lain. Bau darah dapat dirasakan di sekeliling perkampungan itu, malah ianya menjadi semakin kuat lagi.
"Steve, tinggalkan tempat ini segera."
Steve agak terkejut. Inilah kali pertama dia diarah sedemikian dalam tempoh 5 tahun bersama sama dengan Doktor Liew. Dia sememangnya agak gentar apabila bau darah itu menusuk hidungnya tanpa henti-henti.
Perkampungan yang menjadi tempat mereka mencurahkan pertolongan dari segi perubatan minggu ini kini bukan lagi tempat yang dikenali mereka semenjak dari pagi tadi.
Kalau ikutkan perancangan mereka, harini mereka sepatutnya berada di Cape Town untuk menghadiri sebuah persidangan yang dianjurkan oleh WHO berkenaan hal-hal kesihatan sedunia serta maklumat terbaru tentang apa jua penyakit terkini yang berbahaya.
Steve menggelengkan kepalanya tanda tidak setuju dengan arahan Doktor Liew. Doktor Liew hanya tersenyum. Dia tahu perangai Steve yang agak degil dan tak kenal erti putus asa itu.
Steve menyuluh lampu picitnya ke arah hadapan dan bergerak seiring Dr Liew secara perlahan-lahan memasuki perkampungan yang dikenali sebagai Gwacu.
Rumah papan sedia ada yang terletak di bahagian tepi jalan masuk perkampungan itu dengan tingkap dan pintu yang jelas terbuka luas. Malah terdapat juga kesan-kesan barang pecah dan tanah yang dikorek di setiap kawasan rumah sedia ada.
"Dr Liew, ada bunyi..." bisik Steve dengan suara yang jelas gementar. Namun dilihatnya wajah Dr Liew yang tampak serius dan tidak menunjukkan sebarang perubahan.
Mereka berdua berdiri di tengah-tengah jalan tegak dengan rumah papan di sebelah kiri dan kanan. Di depan dan di hujung jalan tersebut adalah tempat di mana mereka berjumpa dengan penduduk kampung Gwacu setiap hari.
Bau darah jelas datang dari arah tersebut.
"Jangan hiraukan bunyi itu, dan jangan biarkan ketakutan menguasaimu. Ingat Steve!" kata Dr Liew dengan tegas tanpa menoleh ke arah lelaki warganegara amerika itu.
Bunyi yang menyerupai sesuatu benda sedang diseret jelas kedengaran, tetapi tidak kelihatan apa-apa pun di hadapan mereka.
Steve tergamam dengan teguran Dr Liew. Selama mengenalinya, dia tidak pernah lihat sikap Dr Liew sebegini kerana baginya Dr Liew adalah seorang yang periang walau macam mana pun rintangan dan kesukaran yang dihadapinya.
Dr Liew berhenti berjalan apabila di hadapan mereka munculnya kepulan asap yang kehitaman dengan secara tiba-tiba. Darah merah yang pekat mengalir dengan banyak dan membasahi permukaan tanah.
Wajah Steve berubah menjadi pucat lesu , lantas secara tiba-tiba dia terjatuh ke atas tanah yang basah dengan darah merah pekat. Tanpa diduga, seluarnya basah ...
"D..doktor, apa tu...?" katanya dengan terketar-ketar sambil jari tangan kanannya dituding ke arah sebuah lembaga yang besar di hadapan mereka.
Dr Liew sekadar mengalihkan cermin mata yang dipakainya lalu dicampak ke tepi. Matanya dipejam seketika sebelum dihembuskan satu keluhan yang agak berat.
"Nampaknya takdir tetap mengejarku walaupun aku cuba mengelaknya selama ini, " keluh Dr Liew sebelum mengukir sebuah senyuman sambil memakukan pandangannya ke arah lembaga tersebut.
Mulut Steve ternganga apabila berbelas mayat penduduk kampung Gwacu mulai jatuh ke tanah apabila dihumban oleh lembaga besar itu yang kini hampir menyerupai seekor serigala gergasi dengan mata yang ganas dan merah menyala.
Hakikatnya, lembaga besar itu merupakan kepulan asap hitam yang menyerupai bentuk serigala gergasi dengan mulutnya masih lagi mengunyah sebelum meludah keluar cebisan daging dan tulang manusia .
Suasana persekitaran menjadi sejuk dan kelam. Steve menggigil ketakutan, pasti dia dan Dr Liew akan mati juga di dibaham lembaga serigala gergasi itu.
Dia sepatutnya pulang ke Amerika lewat petang tadi atas urusan peribadi tetapi hatinya degil dan turut mahu mengikuti Dr Liew kembali ke kampung Gwacu. Walhal urusan mereka di sini sudahpun tamat. Tetapi Dr Liew bercadang untuk kembali sendirian sejurus tiba di Cape Town dengan alasan tersendiri.
Disebabkan kedegilannya juga, dia bakal mati di malam ini...
"Steve, tutup mata. Sekejap lagi semuanya okay je, " kata Dr Liew dengan penuh kenyakinan sambil memberikan tanda jari "OK".
Steve benar-benar tak percaya dengan tingkah laku Dr Liew. Dia tak takut langsung ke, atau dia dah gila. Adakah aku sedang bermimpi ngeri, fikirnya sendiri.
Dilihatnya sahaja Dr Liew mula berlari terus ke arah lembaga serigala gergasi tersebut tanpa berlengah lengah.
"Doktor Liew!!!" Steve menjerit sebelum sebuah kilaun cahaya mula menyinari seluruh perkampungan Gwacu itu.
Steve cuba melihat apa yang berlaku namun kilaun cahaya itu amat menyakitkan dan dengan tidak semena-mena, tubuhnya dirasakan tercampak ke belakang seperti sebuah tiupan angin yang kuat menolaknya.
Dia terjatuh pengsan apabila kepalanya terhantuk dinding kayu rumah papan di sebelah kirinya.
Hujan mulai turun apabila dentuman kilat menyinari langit di atas.
Selang setengah jam kemudian, Steve terjaga. Kepalanya sakit, dengan kesan luka di tepi telinga kanannya.
Hujan lebat masih membasahi bumi dia berpijak.
Dia cuba berdiri sambil melihat-lihat ke arah hadapan. Penglihatannya agak kabur sedikir.
"Doktor? Doktor Liew?"
Panggilannya tidak berjawap. Sedikit demi sedikit penglihatannya mulai jelas. Pandangannya tertumpu ke arah mayat yang bergelimpangan di depan, penduduk Gwacu yang baru dikenalinya kurang seminggu. Masing masing dengan kesan cebisan daging terkoyak dan dalam keadaan menyayat hati.
"Doktor!"
Masih tidak berjawap. Titisan air hujan sedikit sebanyak mengaburi pandangan matanya ke arah depan, di mana tempatnya lembaga serigala gergasi itu berada tadi.
Wajahnya berkerut apabila pandangannya menjadi jelas.
Mulutnya ternganga, kurang percaya dengan apa yang dilihat.
"Doktor Liew!!!"
No comments:
Post a Comment