Saturday, December 19, 2015

Bab 4


Izen@Kiara 1
Mont Kiara
Rabu
9.50pm


Eliza sedang rancak menaip papan keyboardnya sambil matanya sekali-kala memandang ke arah televisyen jenis LG 42 inci yang sedang ligat membicarakan tentang konfrontasi di antara 2 negara kuasa besar, Amerika dan Rusia yang sedang disiarkan CNN melalui saluran Astro.

Dia sebenarnya tak ambil port sangat tentang politik sama ada di dalam atau di luar negara, mahupun perkara-perkara yang lain kerana baginya adalah sesuatu yang sangat membosankan. Hidupnya yang suka bersosial dan liar sehingga kini baginya adalah satu keperluan untuk mengisi kekosongan hidupnya semenjak dia ditinggalkan ayahnya 10 tahun yang lepas, tanpa sebarang khabar.

"Eliza, " panggil seorang lelaki yang sedang berdiri di tepi katil bilik yang dihuni mereka.

Lelaki itu mula menanggalkan bajunya sebelum dia menyandarkan seluruh tubuhnya di bucu katil itu. Eliza bersikap selamba saja tanpa memberikan sebarang reaksi. Lelaki yang baru dikenalinya itu di kelab malam The Rabbit Hole semalam hanya dijadikan sebagai teman tidur.

Mata Eliza tertumpu pada sesuatu yang baru disedarinya ketika melayari blog-blog tertentu di alam maya. Hobinya yang suka mencari dan menyelidik tentang kisah-kisah misteri dan paranorma menjadi satu daya tarikan yang amat istimewa baginya semenjak berkenalan dengan seorang gadis yatim piatu tahun lepas.

Gadis berkenaan yang kematian ibu bapanya dalam satu kebakaran di rumahnya pernah mengatakan punca kebakaran tersebut dengan suatu entiti atau lembaga berwarna hitam yang muncul di rumahnya pada tengah malam hari kejadian. Namun ianya disanggah oleh pihak berkuasa sebagai bayangan dan imaginasi gadis itu. Kejadian kebakaran itu dikatakan adalah berpunca dari litar pintas.

Selang beberapa bulan kemudian, perkara yang sama berlaku di sebuah rumah kebajikan yang menempatkan gadis itu dan dia menyatakan juga perkara yang sama. Tiada sebarang kemalangan jiwa kerana kebakaran tersebut berjaya dipadamkan dengan cepat oleh 2 orang kakitangan yang bertugas di malam tersebut.

Punca kebakaran juga dikatakan sebagai litar pintas. Malangnya 2 orang kakitangan tersebut maut dalam kemalangan jalan raya selepas kejadian kebakaran itu.

Eliza berkenalan dengan gadis tersebut apabila dia menemani seorang rakan wanita yang mengunjungi rumah kebajikan tersebut. Perkenalan yang tidak dirancang akhirnya menjadikan mereka rapat sehinggalah 3 bulan yang lepas.

Gadis yang berusia 15 tahun itu hilang dari pusat kebajikan tersebut secara tiba-tiba. Sehingga kini pihak polis menemui jalan buntu dan kes kehilangan gadis ini masih lagi tmenjadi pertanyaan.

"Catherine...where are you, " soalnya sendiri sambil melihat gambar kecil dirinya bersama Catherine, seminggu sebelum dia hilang.

Eliza membaca blog yang ditulis dalam bahasa english itu menceritakan tentang misteri sebuah pulau yang berhampiran dengan Bermuda Triangle , tentang eksperimen misteri yang dijalankan segelintir kumpulan saintis dalam cubaan untuk membuka portal ke dunia yang lain.

"Interesting," bisik kecil hatinya sambil membelai rambut sisinya yang sedikit panjang.

"Eliza, jomlah."

Dia mengambil nafas pendek sebelum mengerling ke arah lelaki itu, yang sedang duduk di atas katil itu sambing merenungnya.

Eliza yang hanya berpakaian baju dan seluar pendek bangkit dari kerusinya lalu terus bergerak ke arah katil.
Blog yang bertajuk "Another World:Bermuda Triangle" terpampang di skrin laptopnya sebelum ianya menjadi gelap.


--


Tingkat 10
Menara Choy Fook On
Kuala Lumpur
Khamis
11.30am


Julie termenung seketika di dalam bilik pejabatnya. Dia langsung tidak menyedari akan kehadiran seorang gadis bertudung yang baru sahaja melangkah masuk.

Gadis itu hanya berdiri di depannya sambil memegang beberapa buah dokumen.

"Erm... Cik Julie?"

Senyap, tiada maklum balas dari Julie. Matanya masih lagi terarah ke arah monitor meja komputer. Tiada apa yang terpampang di skrin monitor tersebut kecuali gerakan screensaver yang berbentuk ombak.

"Cik Julie?"

Mata Julie masih lagi terpaku ke arah skrin monitor itu, ibarat ada sesuatu yang teramat menarik dan sukar diendahkan berada di hadapannya.

Secara fizikal, jasadnya  berada di dalam bilik pejabatnya tetapi fikiran dan mindanya ibarat berada di alam lain.

Fikirannya masih lagi mengimbau kejadian yang berlaku pada malam minggu lepas. Dia kurang pasti sama ada apa yang berlaku itu adalah benar-benar berlaku ataupun imaginasinya. Tetapi dia lebih yakin bahawa peristiwa itu benar-benar berlaku.

"Julie!"

Suara seorang lelaki yang agak berumur kedengaran dengan kuat mengejutkan dia dan juga gadis yang berdiri di hadapannya itu.

Matanya berkelip-kelip sebelum anak matanya dapat menangkap dengan jelas bayang 2 orang yang sedang berdiri di depannya.

Dia mengambil nafas seketika sebelum bangkit bangun dari kerusi yang empuk itu.

"Dato Wahid?'

Julie sememangnya terkejut dengan kehadiran Dato Wahid ke bilik pejabatnya. Riak mukanya jelas berubah.

"Awak okay ke, Julie? Saya perasan yang awak sedang mengelamun sampai tak sedar yang si Aida ni tercongot berdiri di depan mata awak."

"Erm, saya betul-betul minta maaf Dato, " katanya sambil memberi isyarat mata kepada Aida untuk meletakkan fail dan dokumen di atas mejanya.

Aida mengangguk faham lalu bergerak meninggalkan mereka berdua, sebaik dia meletakkan fail dan dokumen di atas mejanya.

"Aida, tolong tutupkan pintu ya. Thanks."

Arahan Dato Wahid itu jelas lantas dia menutup pintu pejabat itu sebaik dia melangkah keluar.

"Cik Julie, apa dah jadi dengan Cik Julie semenjak beberapa hari ni..., " soal hatinya sendiri.

Aida yang telah berkerja hampir setahun dengan Julie selama ini menganggap Julie sebagai seorang yang wanita yang cekal, tabah dan kuat dalam menghadapi apa jua cabaran. Apatah lagi sebagai seorang peguam yang adakalanya mengendalikan kes pro-bono, dugaannya amat berat.

Dan tak kira apa jua pengakhirannya, Julie tidak pernah mengaku kalah dan sentiasa fokus untuk mencari jalan dalam menyelesaikan apa jua masalah dan cabaran kerjayanya,

Tetapi semenjak awal minggu ini, keadaan seperti berubah sama sekali.

"Aida, Cik Julie okay tak?" tanya Azlan yang sedang duduk di meja kerjanya sambil menulis sesuatu.

Aida hanya tersenyum kecil. Dia sememangnya tahu Azlan ada perasaan terhadap Julie, namun tidak pernah dilayan.

"Entahle Azlan. Aku pun tak tahu..."



--


Wad ICU Tingkat 3
Hospital Kuala Lumpur
10.00pm


Suasana di unit ICU Hospital Kuala Lumpur yang terletak di tingkat 3 agak sunyi di waktu malam di malam hari khamis ini.

Jam dinding sudah menunjukkan angka 10. Hanya seorang jururawat sahaja yang berada di kaunter
jururawat itu.

Jururawat yang bernama June Lee sedang sibuk menulis sesuatu di buku log. Malah sekali kala dia akan melihat monitor di hadapannya untuk memantau keadaan pesakit sedia ada di unit ICU itu.

Dia berasa lega kerana setakat ini hanya ada 3 orang sahaja pesakit di wad unit ICU itu, termasuklah seorang anggota polis yang baru sahaja dimasukkan baru-baru ini.

Di samping itu jua, terdapat 2 orang anggota polis yang telah ditempatkan untuk mengawasi anggota polis tersebut. June Lee tidak mengetahui sebab-sebabnya secara terperinci, hanya ambil tahu apa yang perlu sahaja.

Dia melihat ke arah jam tangannya. Masih ada lagi sejam sebelum shif bertugasnya tamat untuk hari ini.
Dia mengeluh kecil sebelum bangkit dan memulakan langkah ke bilik pantri yang terletak di belakangnya.

Diambilnya sebuah mug kecil di tepi sinki lalu dibasuhnya. Kemudian dia mengisi air panas dari cerek sedia ada sebelum membancuh air nescafe.

Walaupun dia akan pulang sekejap lagi, tetapi dia dah rasa mula mengantuk. Dia menguap sekali dua sebelum anak matanya secara tiba-tiba menangkap satu bayang gelap yang tidak jelas, yang melintasi kaunternya dengan sekelip mata.

Mungkin salah seorang pegawai polis yang bertugas? Seingat dia tadi, seorang daripada mereka baru nak pergi makan walaupun dah lewat manakala yang seorang lagi masih berkawal.

"Mungkin si gemuk tadi kot..." soalnya sendiri.

Dia melangkah keluar ke arah kaunter sambil melihat sekeliling koridor dari pintu masuk unit ICU hingga ke bilik pesakit, namun tiada apa-apa.

"Eh, mana diorang?" apabila sedari pegawai polis yang bertugas pun tidak kelihatan.

Mungkin ke toilet kot, pujuk hatinya. Dia mengeluh kecil sambil mengeliat. Memang dah mengantuk sangat dah ini.

Dia duduk semula di atas kerusi sambil menyambung semula catitan laporan dalam buku log jururawat bertugas.

Namun dia berasakan pelik seketika apabila dia melihat semula monitor di hadapannya. Ada sesuatu yang tak kena.

Kenapa hanya ada 2 status pesakit sahaja? Kan ada 3 orang. Lagi 1?

Di saat itu jua dia terdengar bunyi tapak kaki yang sedang melangkah ke arahnya dari bilik pesakit.

June Lee berasa tidak sedap hati. Bulu romanya meremang secara tiba-tiba. Seingatnya kali terakhir dia mengalami perasaan sebegini adalah sewaktu 3 bulan yang pertama di unit ICU pada 5 tahun yang lepas. Tapi waktu itu hanyalah sekadar perasaan dan tiada apa-apa yang berlaku.

Malangnya malam ini bukanlah seperti 5 tahun yang lepas.

Bunyi tapak kaki itu semakin hampir. June Lee bangkit secara perlahan-lahan sambil memegang telefon.
Tiada bunyi nada.

Matanya melihat kawasan sekeliling untuk mencari punca bunyi tapak kaki itu, tapi tiada apa-apa pun.
Dia menarik nafas lega. Mengantuk sungguhkah dia sampai boleh terbayangkan perasaan takut camni.

Bunyi tapak kaki itu kedengaran semula. Kali ini di belakangnya pula.

Rasa seram sejuk mula menyerang seluruh tubuh badannya. June Lee kaku. Hatinya berdebar-debar.
Selama 26 tahun dia hidup di muka bumi ini, inilah kali pertama dia menghadapi keadaan sebegini. Hantu? Takkan kot...

Dia berpaling perlahan-lahan.

Matanya terbeliak, nafasnya terasa sesak.

Satu jeritan kuat bergema, lantas memecahkan kesunyian di malam itu.









No comments:

Post a Comment