Taman Pagoh Jaya
Ahad
11.45am
Lelaki yang berusia sekitar 30-an itu sedang asyik tidur di atas sofanya tanpa menghiraukan butir-butir berita yang terpampang di televisyen.
Kisah berita tentang apa yang berlaku semalam di Bukit Aman sedang hangat diperkatakan. Pelbagai andaian dan teori konspirasi yang mula diperbincangkan secara meluas sama ada melalui media sosial seperti facebook dan twitter. Dan ada juga yang mengecam kerajaan dan pihak berkuasa kerana tidak berupaya menangani kejadian terbaru dari berlaku.
Bunyi dengkuran yang sekali kala kedengaran menjadi peneman ruang tamu yang sunyi itu.
"Liza!"
Lelaki itu tiba-tiba tersedar daripada tidurnya. Wajah seorang wanita yang sedang senyum dengan tidak semena-mena hilang terus dari penglihatannya sebelum satu jeritan yang kuat mengejutkannya dari tidur.
Ivan mengeluh dengan perasaan yang berat hati. Dia baru sahaja kembali 2 hari lepas dan sehingga kini dia masih gagal. Tiada sebarang berita mahupun jejak Liza dijumpainya ketika di sana.
Namun, dia yakin Liza berada hampir dengannya pada malam tersebut. Walaupun mungkin hanya khayalan atau mainan tidur.
Dia bangkit secara perlahan-lahan dari sofa yang menjadi tempat tidurnya semenjak dia pulang dari Alaska, dengan pelbagai cebisan ingatan yang masih melekat di dalam benak otaknya.
Tekaknya terasa kering. Dia mengorak langkah ke dapur dengan gerak geri yang sedikit perlahan apabila dirasakan kaki kanannya terasa sakit. Sakit yang dialaminya pada malam tersebut.
Botol air sejuk jenama Spritzer diambilnya dari dalam peti ais lalu diteguknya air dengan perlahan-lahan, menikmati saat yang menyegarkan serta membasahi anak tekaknya.
Fikirannya masih lagi mengimbau saat-saat yang terjadi pada malam tersebut, walaupun dia seboleh-bolehnya cuba untuk melupakan saat-saat tersebut. Saat yang mencabar keberaniannya. Saat yang hampir meragut nyawanya.
"Liza..."
Lamunannya terhenti apabila deringan telefon bimbitnya berbunyi dengan tidak semena-mena. Dia mencapai telefon jenis Samsung J5 berwarna kelabu yang terletak di kocek kiri seluar yang dipakainya semenjak dua hari lepas.
Dilihatnya nombor telefon yang tertera di skrin telefonnya. Ianya tertulis private number, Difikirnya sejenak.
"Hello?"
"Hello, is this Mr Ivan?"
Suara seorang gadis yang agak lembut namun jelas kedengaran.
"Siapa ni?" soal Ivan.
Tiada suara kedengaran, sekadar bunyi nafas sahaja.
"Hello, siapa ni!?" tanya Ivan dengan nada yang keras.
Dengan tidak semena-mena talian telefon tersebut diputuskan tanpa sebarang jawapan dari suara gadis tersebut. Ivan tertanya-tanya siapakah yang menelefonnya tadi. Adakah salah nombor? Bukan.. Sebab pemanggil tu tahu namanya.
Bunyi "beep" tiba-tiba kedengaran dengan suatu pesanan ringkas. Wajah Ivan berubah sejurus dibacanya mesej yang diterimanya.
I know about Liza.
Meet me at Kinokuniya KLCC at 6pm tomorrow.
No comments:
Post a Comment